Isnin, 30 November 2009

IKTIBAR KEPADA MEREKA YANG MUDAH TERPEDAYA.

Salam Pedoman & Iktibar

Dalam majalah wanita Islam 'Muslimah', Februari 1999, terdapat satu cerita yang menarik berjudul: 'Iktibar Buat Mereka yang murtad!'  

Amat menarik sekali apabila kita mengkaji cerita 'pemelukan agama Islam' (dari Kristian ke Islam) si Ustaz Tajuddin Othman Abdullah itu. Kerana, apabila ceritanya diperiksa dengan lebih terperinci dan mendalam lagi, kami mendapati banyak perkara-perkara yang bercanggah dan ada banyak lagi yang tidak tepat mengenai peranan mahupun pegangannya yang kononnya "sebagai paderi besar di seluruh Sabah." 

Rujukan telah dibuat kepada umat Roman Katolik dan orang-orang Sabah untuk mengesahkan cerita dan tuntutan-tuntutan serta tuduhan di dalam artikel polemik Majalah Muslimah (Februari 1999) ini, untuk menentukan kesahihan serta kebenarannya. 

Kami akan memberi, sebagai contoh sahaja, segelintir daripada hakikat-hakikat itu yang membuktikan bahawa 'penukaran ugama' ini bukan sahaja satu pemalsuan, malah satu pembohongan yang telah sengaja direka untuk dijaja dan dijual kepada mereka yang kononnya ingin meninggalkan ajaran-ajaran Islam dan memeluk ajaran Kristian yang terkandung di dalam Injil dan Al-Kitab, yakni kononnya sebagai suatu 'iktibar' bagi mereka. 

Contoh-contoh percanggahan di dalam cerita polemik ustaz Tajuddin : 

1) menurut ustaz Tajuddin, 'untuk menjadi seorang Kristian, seseorang perlu menjalani "Ekaristi Pembaptisan' iaitu MEMINUM air ini' - iaitu air suci atau lebih dikenali sebagai 'Holy Water'," (muka surat 20). 

Ini adalah satu KESILAPAN BESAR yang telah diucap oleh si ustaz Tajuddin! Kerana apa yang diucapnya itu tidak ada sokongan langsung daripada Kitab Injil Atau Al-Kitab atau pun mana-mana ajaran Hazrat Isa Al-Masih yang ada. Cubalah En.Tajuddin berikan rujukan daripada Kitab Injil atau Al-Kitab (Bible) ayat-ayatnya yang menunjukkan Pembaptisan itu melibatkan "meminum air 'Holy Water' itu" kepada kami, wahai bekas 'paderi' Tajuddin. Kalaulah dia betul-betul seorang 'Paderi Kristian' mestilah dia tahu semua itu. Kesilapan ini menunjukkan bahawa dia tidak pernah sekalipun memahami apa dia 'Ekaristi Pembaptisan' itu. Dan kesimpulan daripada kajian kami ialah: orang ini tidak pernah menjadi paderi, yang kecil mahupun yang besar, di mana-mana pun. 

Upacara Pembaptisan itu adalah sesuatu perkara yang begitu DASAR SEKALI bagi akidah umat Katolik sehingga ia diajar kepada semua penganut Katolik dari bangku sekolah rendah lagi. Sebenarnya, Upacara Pembaptisan ini ialah di mana air yang telah didoakan oleh seorang Paderi Katolik akan dituang ke atas kepala seorang kanak-kanak Katolik sahaja. Tidak sekalipun dia dimestikan MEMINUM air tersebut! Dan untuk meminum air tersebut semasa Pembaptisan adapun bercanggah dengan pengajaran Injil dan dengan akidah agama Katolik sama sekali. Kami ingin tanya En.Tajuddin, "Sila beri rujukan ayat-ayat Injil atau mana-mana nas Al-Kitab Kristian yang lain yang membawa ajaran di atas atau seperti terkandung di dalam karangannya di dalam Muslimah itu kepada kami pembaca-pembaca." 

Jadi, ini menunjukkan dan MEMBUKTIKAN bahawa fahaman si 'ustaz' Tajuddin mengenai amalan Katolik ini adalah salah dan kesilapannya menunjukkan dia tidak mungkin sekali pun menjadi seorang Paderi - paderi besar mahupun paderi kecil biasa! Sebab semua penganut Katolik biasa tahu dan akur yang apa yang disebutkan 'Pembaptisan' itu tidak melibatkan 'Meminum air suci' sama sekali. Kamu tidak payah menjadi seorang "Paderi" untuk mengetahui hakikat ini. SETIAP orang Katolik yang muda dan yang tua mengetahuinya, dan ini menjadi satu amalan yang lazim dipraktikkan oleh mereka. Apatah lagi seorang yang telah mengelarkan dirinya sebagai 'Paderi' kononnya, yang berperanan untuk menjadi 'Pemimpin' umat Katolik TETAPI berpegang kepada fahaman yang serong dan salah sama sekali! Sebenarnya, ustaz Tajuddin ini tidak pernah menjadi seorang 'Paderi' Kristian mahupun Katolik. Jika dia sendiri tidak tahu atau memegang kepada suatu amalan dan ajaran yang begitu 'basic' dan mendasar bagi setiap orang Katolik ini, sampai bila dia boleh mencapai dan menyandang peranan 'Pemimpin' atau 'paderi' bagi umat itu? 

Lagi pun di muka surat 21 dia menuntut bahawa 'Holy Water' dibuat di suatu biara di 'Vantiken' - ini adalah KARUT SEMATA-MATA! Kalaulah En.Tajuddin masih berdegil tak mahu berganjak dari pendustaan ini maka kami memintakannya untuk sila memberi alamat penuh tempat 'Biara' ini. Dia membuat satu lagi kenyataan yang palsu apabila menuntut 'air suci' ini dibuat 'dari proses uzlah yang dijalani sebelum menjadi paderi'. Ini adalah pendustaan semata-mata dan jauh sama sekali dari kebenaran (Muslimah Februari 1999, m.s. 20). 

Sebenarnya 'Air suci' atau 'Holy water' adalah air paip biasa yang diperolehi daripada mana-mana paip, yang didoakan oleh seorang paderi sahaja. Ia tidak pernah 'dibuat' di mana-mana tempat, di Melaka, Kota Kinabalu, London mahupun di 'Vatican' - ejaan dan sebutan 'Vantiken'nya pun salah dan silap. 

Huraian di atas hanya adalah beberapa contoh-contoh percanggahan dan pengajaran-pengajaran palsu yang didakwa sebagai amalan-amalan umat Kristian yang dianjurkan oleh En.Tajuddin Othman Abdullah itu. Jika dia gagal membuktikan semua dakwaan-dakwaannya itu dengan tidak membawa ayat-ayat daripada Injil ataupun Al-Kitab (Bible) bagi menyokong apa yang dituntutnya sebagai 'amalan-amalan Kristian' seperti terkandung di dalam karangannya dalam Muslimah Februari 1999, maka sesungguhnya dia telah cuba memperdayakan pembaca-pembacanya dengan dakyah berasaskan pendustaan belaka.

Pusat Penyelidikan Katolik di Kuala Lumpur pun telah mengkaji tuntutan dan dakwaan beliau yang terkandung di dalam karangannya itu, kerana ada disebut nama Geraja Katolik di negeri Sabah, persatuan tertentu dan gelaran-gelaran serta butiran-butiran lain di dalamnya. Setelah memeriksa segala maklumat dan dakwaan dalam karangan itu dengan rapi, Catholic Research Centre atau Pusat Penyelidikan Katolik yang berpusat di Kuala Lumpur, telah memberi jawapan rasmi bagi pihak umat Katolik di Malaysia kepada Pengarang majalah Muslimah dalam sepucuk surat rasmi bertarikh Mac 26, 1999. 

Di sini disertakan salinan jawaban tersebut supaya pembaca-pembaca dapat dimaklumkan apakah sebenarnya hasil pengkajian dan pemeriksaan Pusat Penyelidikan Katolik Malaysia ke atas dakwaan-dakwaan En.Tajuddin itu. 

Maklumbalas daripada CRC: "Surat Terbuka Catholic Research Centre". Berdasarkan kepada apa yang telah didakwa, kami ingin meminta dari Encik Tajuddin Othman Abdullah ini supaya : 

1) Berilah kepada pembaca-pembaca, rujukan daripada Injil Hazrat Isa Al-Masih ataupun Al-Kitab Kristian/Katolik di mana umat Katolik diarahkan supaya mereka meminum air Pembaptisan. Kami tuntut daripada Encik Tajuddin ini - i) sila berikan bab dan ayatnya daripada Injil/Al-Kitab Kristian di manakah ajaran ini dijumpai? dan, ii) sila berikan rujukan daripada Al-Kitab di mana 'air Holy Water' ini dibuat di 'Vantiken' dan Kristian diarahkan meminumnya. 

2) Di mukasurat 24 pula, si ustaz ini pun menuntut bahwa 'Di Vantiken, orang Kristian yang keluar agama kemudian masuk ke negara tersebut, mereka akan bunuh.' Ini adalah muslihat belaka. Gereja Katolik hari ini tidak membunuh mereka yang menukar agama mereka. Keputusan untuk memilih mana-mana agama adalah terserah kepada setiap individu Katolik. Mereka ada kebebasan untuk memilih agama mereka tanpa apa-apa tekanan dari luar. Jadi ini adalah satu lagi kenyataan palsu dan pendustaan yang dibuat oleh ustaz Tajuddin. 

3) Di mukasurat 21 pula, Encik Tajuddin mendakwa bahawa: 

"di Romawi ia (Kristian) dinamakan Kristianisasi. Jika kita meneliti di dalam Kitab Nabi Isa (Injil) tidak ada disebut 'Kristian'." 

Inilah satu lagi contoh yang terang benderang mengenai kekosongan kata-kata En.Tajuddin ini. Malah ini bukan sahaja kata-kata kosong tetapi satu lagi dalil pendustaannya! Istilah "Kristian" ADA DISEBUT di dalam Injil mahupun di dalam Al-Kitab: 

"Di Antiokhia, untuk kali pertama pengikut-pengikut Isa disebut orang Kristian." (Kisah Rasul-Rasul 11 ayat 26) 

Jadi, segala yang dituntut oleh "paderi" terpesong ini tidak mempunyai asas di dalam Kitab yang konon telah dipelajarinya. 

Jadi, kita dapat melihat ada banyak yang tidak logik dengan apa yang diceritakan dan dituntut oleh En.Tajuddin ini. Ada banyak juga lagi yang tidak benar dan merupakan muslihat dan pembohongan-pembohongan belaka dan pendustaan-pendustaan ini cuba digunakan oleh ustaz Tajuddin bagi 'mengubati' umat Islam di sini. 

Kami kemukakan tuntutan kami dan memohon ustaz ini memberikan rujukan ayat-ayat Al-Kitab yang mengajar 'amalan-amalan Kristian' yang dianjurkannya di dalam perkara (1) di atas dan juga ada di dalam ceritanya di dalam Majalah Muslimah Februari 1999 yang lalu. Jika ustaz Tajuddin ini tidak dapat memenuhi permohonan yang dihurai diatas maka sudah terbuktilah yang dia dan ceritanya tidak memihak kebenaran. Kalau ustaz Tajuddin ini tidak dapat buktikan ajaran dan amalan "Kristian/Katolik"nya seperti terkandung di dalam ceritanya terdapat di dalam Al-Kitab Bible dan disokong pula oleh rujukan-rujukan dan ayat-ayat relevan yang terang dan jelas, maka dia: 

seharusnya menarik balik ceritanya di dalam majalah Muslimah Februari 1999 dan, memohon maaf daripada umat Kristian/Katolik kerana dia telah membohongi mengenai amalan-amalan dan ajaran-ajaran mereka.
Dia juga, seharusnya memohon maaf daripada umat Islam yang telah membaca ceritanya kerana dia telah cuba mengunakan dakyahnya yang palsu bagi menjual ide yang berlandaskan pembohongan mengenai umat Kristian/Katolik untuk memperdayakan mereka. 

Ini adalah tindakan yang wajar dan mulia bagi En.Tajuddin Othman sebagai seorang yang, mengikut tuntutannya, menyandang tugas 'seorang ustaz.' 

Daripada Injil kami mendapat ajaran supaya jangan membangunkan ibadat dan kerohanian kami berlandaskan kepada kepalsuan dan pendustaan, tetapi untuk sentiasa membangunkan keimanan kami berdasarkan kebenaran dan berwaspada akan pembohongan yang mencurigakan. 

Kalaulah ustaz Tajuddin ini benar-benar mengutamakan kebenaran dan inginkan cahaya kebenaran bagi dirinya dan umatnya, kami menasihatinya supaya janganlah menggunakan pendustaan-pendustaannya itu sebagai satu cara memajukan dan membangunkan 'syiar' Islam. Kerana 'kemajuan syiar' itu berlandaskan kepada sesuatu yang sudah terbukti sebagai pendustaan belaka dan malangnya ini ialah kegelapan yang amat mencurigakan. 

Adalah diharap supaya pembaca-pembaca sedar selalu akan kewujudan banyak pendustaan dan pembohongan yang telah digunakan untuk mengelirukan dan memesongkan ajaran-ajaran Kristian yang sebenar. Kami dengan ikhlasnya ingin menasihati semua pembaca-pembaca berwaspada terhadap dakyah-dakyah yang tidak berasas ini supaya mengkaji dan memeriksa dengan cara terbuka semua dakwaan dan tuntutan terlebih dahulu dan janganlah senang diperdayakan, supaya segala dakyah-dakyah yang tidak berasas ini janganlah ditelan dengan bulat-bulat sahaja!




Selasa, 24 November 2009

Isteri Curang - Kisah Iktibar

 
Siapa sangka, seorang isteri berperawakan lemah lembut, bertudung labuh dan kuat pegangan agama rupa-rupanya bertuankan nafsu apabila sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.

Padahnya, dia dicekup suami dalam keadaan hanya memakai baju tidur tanpa coli manakala pasangannya tidak berbaju, sekali gus membawa kepada runtuhnya rumah tangga yang dibina selama 10 tahun.

“Nyata doa saya ketika di Makkah supaya Allah SWT menunjukkan kebenaran di dalam rumah tangga saya termakbul. Saya bukan mahu memalukan bekas isteri, tapi ingin berkongsi pengalaman supaya menjadi iktibar kepada orang lain,” kata Azman, 30-an.

Ikuti pengakuan Azman sepenuhnya:

“TERUS terang saya katakan, sepanjang hidup bersamanya, tidak sedikitpun saya meragui kesetiaannya. Saya yakin dia setia kepada saya memandangkan perkahwinan kami atas dasar suka sama suka.

Ketika bersusah payah membangunkan perniagaan, dia menjadi inspirasi dan semangat untuk saya. Tanpa dia, mungkin saya tidak mampu mengharungi pahit getir dalam dunia perniagaan.

Lebih daripada itu, saya yakin, perawakannya yang lemah lembut, bertudung labuh dan latar belakangnya yang kuat pegangan agama tidak mungkin membuatkan dia sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi hukum agama.

Dia melayan saya dengan sepenuh tanggungjawabnya sebagai isteri. Apa saja permintaan saya dia akan penuhi.

Kami bertambah bahagia apabila dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.

Namun, ketika perniagaan saya berkembang dan kami sekeluarga mengecap kesenangan, ada rakan memberitahu pernah melihat isteri saya bersama lelaki lain dalam keadaan mencurigakan.

Ketika itu memang saya tidak percaya langsung dan akibatnya saya bertumbuk dengan rakan yang menyampaikan maklumat itu.

Begitupun, cerita mengenai kecurangan isteri saya tidak pernah tamat kerana ada saja rakan menyampaikannya kepada saya.

Antara yang paling menyakitkan hati ialah ada yang memberitahu, isteri saya membuat pengakuan bahawa dia sudah berpisah dengan saya.

Dalam keadaan sedemikian, saya masih bersabar dan membuang perasaan curiga terhadap isteri. Saya tetap melayannya dengan baik dan pada masa sama dia juga begitu.

Pada Ramadhan tahun lalu, saya ke Makkah mengerjakan umrah dan di depan Kaabah saya berdoa supaya Allah SWT terus merapatkan hubungan saya dan isteri. Pada masa sama saya juga memohon kepada Allah supaya menunjukkan kebenaran jika ada kekurangan dalam rumah tangga saya.

Pulang dari Makkah, saya menghadiahkan isteri gelang kayu Kokka. Tidak lama selepas itu rakan memberitahu, lelaki yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isteri saya ada memakai gelang sama.

Apa disampaikan rakan saya memang benar kerana tanpa pengetahuan saya, isteri saya menghadiahkan gelang berkenaan kepada lelaki itu.

Saya memang sakit hati tetapi kerana perasaan sayang masih menebal, saya buat tak tahu saja.

Bagaimanapun, pada satu malam doa saya dimakbulkan Allah apabila saya bagaikan diberi petunjuk mengenai kecurangan isteri.

Entah bagaimana, ketika itu tidak semena-mena kereta yang biasa saya gunakan rosak secara tiba-tiba dan saya pulang ke rumah menggunakan kereta lain.

Tidak seperti kebiasaan, saya pulang awal sedikit. Ketika sampai di rumah, saya melihat kelibat seorang lelaki keluar dari pintu belakang dan menguncinya.

Berderau darah saya ketika itu dan dengan menggunakan segala kudrat yang ada, saya mengejar dan berjaya menangkapnya.

Ternyata, dia adalah lelaki seperti digambarkan rakan saya. Dalam keadaan tidak berbaju, saya mengheretnya ke dalam rumah dan ketika itu isteri saya dalam keadaan kusut, memakai baju tidur tanpa coli. Saya periksa bilik dan mendapati katil ‘bersepah’.

Tanpa sedar, air mata saya mengalir dan benarlah apa yang diberitahu rakan selama ini. Sudah jelas, isteri saya curang. Jika bersama lelaki lain di dalam rumah dalam keadaan mencurigakan, apa lagi yang mereka lakukan jika tidak membuat maksiat?

Namun, seperti orang tidak bersalah, kedua-duanya berbuat muka selamba. Isteri memberi alasan lelaki itu datang ke rumah kerana mahu membetulkan paip.

Apabila diperiksa, ternyata isteri saya berbohong apabila paip rumah saya tidak rosak dan lelaki itu tidak pula membawa peralatan membaiki paip.

Seperkara lagi, lelaki itu masuk ke rumah secara bersembunyi berikutan keretanya diletakkan jauh dari pekarangan rumah.

Bengang dengan reaksi mereka, saya bawa mereka ke balai polis dan membuat laporan. Sedikitpun mereka tidak menunjukkan perasaan takut. Kesudahannya mereka dilepaskan selepas dijamin keluarga masing-masing.

Sejak itu, kami duduk berasingan hinggalah kami bercerai baru-baru ini. Saya mendapat hak penjagaan anak.

Apabila difikirkan kembali, apa salah saya sehingga dia sanggup berbuat begitu. Hendak apa saja saya berikan. Malah satu ketika dia pernah berkata kepada anggota keluarga saya, dia tidak tahu hendak membeli apa lagi kerana semua benda boleh dimilikinya.

Keluarga saya memang kecewa, apatah lagi ibu saya. Dia adalah menantu kesayangannya, tetapi apa yang berlaku benar-benar mengejutkannya.

Keluarga bekas isteri pula meletakkan kesalahan di atas bahu saya. Mereka menyifatkan saya terlalu cemburu.

Saya hairan, adakah perbuatan bekas isteri saya melakukan maksiat bersama lelaki lain dan saya sendiri yang menangkap mereka perlu dimaafkan dan dituduh CEMBURU?”


Isnin, 23 November 2009

Saat Aku Ditalkinkan…Mesti Baca

Salam Pedoman & Iktibar

Semoga kita insaf dan menjadi pelajaran. InsyaAllah…

Hari berganti hari.Keadaanku semakin tenat.Tubuhku terkaku seperti mayat di atas katil di salah sebuah hospital yang aku sendiri tidak tahu mengapa aku di tempatkan di sini.Sebelum tu, yang aku ingat aku sedang memandu kereta ayah,lalu bertembung dengan lori balak.

Tapi selepas itu aku tidak ingat apa-apa.Pandanganku kabur.Tidak dapat ku pastikan siapa orang-orang yang berada di sekelilingku.Aku terasa dada ku teramat berat dan bahagian pinggangku sudah tidak berasa apa-apa lagi.Derita sngguh.nafasku sesak.

Tiba-tiba tanganku di pegang kuat.”Mengucap sayang,,mengucap…….. Asyhaduallailahaillallah………” ucapan
itu dibisikkan ke telingaku di sertai dengan tangisan.Itu suara ibu.manusia yang pernah mendodoikan daku semasa kecil,manusia yang pernah menyuapkan nasi ke dalam mulutku,manusia yang pernah memberi susunya serta yang pernah merotanku kerana degil.


“Bagaimana dengan keadaannya doktor?”Aku amati suara itu.Pasti itu suara abang.Mungkin abang baru sampai. “Tenat”,jawab doktor dengan ringkas. “Itu kata doktor bang,jangan berserah kepada takdir sahaja.Kita perlu usaha”. Sudah seminggu aku terlantar di wad ini,kenapa baru sekarang abang menjengah? datang lah ke sini,aku ingin berbicara denganmu. datanglah….. Tapi mataku…….semakin gelap.Adakah aku sudah buta? Tidak!!!!Aku tidak mahu buta.Aku masih ingin melihat dunia ini. “Sabarlah dik,banyak-banyak ingatkan Allah.”Abangkah yang bersuaraitu? Apa yang aku tanggung ini tidak semudah yang kaulafazkan,abang.Tolonglah adikmu ini.Tolong bukakan mataku.

“Tekanan darahnya amat rendah”. sayup sayap kedengaran
suara doktor.Kedengaran juga ibu menangis teresak-esak.Ibu,kau hanya mampu menangis saja.dan bila tiba saatnya,kita akan berpisah.Tapi,ibu…..aku tidak mahu berpisah denganmu.Tolonglah ibu,selamatkan lah daku. “Yassin……”.bacaan yassin terngiyang-ngiyang di telingaku.Aku tahu itu suara abang.Tetapi kenapa aku di perdengarkan dengan suara itu???

Apakah aku sudah menghampiri maut???????Aku takut!!!!!!! Sedetik lagi sakaratul maut datang.Sedetik lagi izrail datang. Sedetik lagi malaikat maut datang.Aku di ambang sakaratul maut…… Aku semakin tegang dan semakin sendat nafas di dada.Ketika itu,aku tidak ingat apa-apa lagi.Aku tidak kenal sesiapa di sekelilingku.Tapi yang pastinya sekarang, aku berdepan dengan sakaratul maut.

“Tolong ibu,tolonglah aku,
aku takut”.Tapi rintihan ku tidak di pedulikan.Apa mereka
semua sudah pekak? Aku di lambung resah,gelisah dan penuh kesah.Keluhan dan rintihan “Panas,dahaga,haus,panas……..”.tapi tiada siapa pun yang peduli.Nenekku datang,”Nenek………..”. “Kau dahaga cu,kau lapar cu,mahu air??Ini gelas penuh air madu,kalau cucu mahu masuk syurga,minum air ini”.

“Ibu……”.
Ibuku datang, Ibu menggoyangkan buah susunya.
” Ini ibumu.Air susu ini membesarkanmu, nak.Buangkan
islam, matilah dalam agama yahudi…..”.
Ayah…….kau datang ayah…….”.
“Matilah dalam agama yahudi anakku.matilah dalam agama nasrani Itulah agama yang membantu kau masuk ke syurga”. “Nenek….ibu…..ayah……suara kau kah tadi??Kenapa kau berubahlaku??Atau suara syaitan yang ingin memurtadkan aku?? “Mengucap sayang,mengucap.Asyhaduallailahaillallah……”.Ucapan
itu diajukan sekali lagi ke telingaku.Itu suara ibu.Tapi lidahku sudah menjadi kelu.

Manusia-manusia berjubah hitam datang.”Mari ikut kami”. manusia-manusia berjubah hijau datang membawa bersamanya payung hijau,katanya”Mari ikut kami”.cahaya putih datang.datang hitam. Datang sinaran kuning.Cahaya merah datang .”Apa ini,apa ini?.Akulah sakaratul maut…….!!!!!!”. Kedinginan menjalar,merayap perlahan-lahan dari hujung kaki ke hujung rambut dan kini seluruh jasadku di selimuti sejuk.dan kemudian datanglah malaikat maut di hujung kepalaku. “Hai jiwa yang keji,keluarlah dari kemurkaan Allah…….”.Aku tersentak.Roh ku berselerak di dalam tubuhku.Lalu,innalillahi wainnailaihi rajiuun…. Malaikat-malaikat yang menunggu sesayup mata memandang dan menghemburlah bangkai yang sebusuk-busuknya.

Tiba-tiba bau busuk menusuk ke hidungku,seperti bau sampah
yang amat busuk. “Apa yang busuk ni?Tak adakah orang yang mengangkat sampah ni?Ah,busuknya,hanyirnya,hancingnya……”.

“Assalamualaikum……”.
“Siapa yang memberi salam itu?”.
“Aku”.
“Kau siapa wahai pemuda???”.
Seorang lelaki tercegat di hadapan katilku.Aku tidak
pernah melihat orang yang sehodoh,sekotor,dan sebusuknya di dunia ini.rambutnya yang tidak terurus,baju yang di pakai berlumut hijau,kuning,coklat dan entah apa-apa warna lagi,dari lubang hidung,telinganya dan mulutnya terdapat nanah dan darah pekat keluar.Tanpa di pedulikannya……jijik,loya,aku rasa……..teramat loya melihatnya.

“Kau tak kenal aku?”.
“Tidak,jawabku tegas.Mana mungkin aku kenal kau sehodoh
dan sejijik ini”.
“Aku sahabatmu,kau yang membuat aku hari-hari”.
“Bohong!”.Aku menjerit sekuat hati.Biar semua penghuni wad
ini mendengarnya.
“Aku tak kenal engkau!Lebih baik kau pergi dari sini”.
“Akulah amalanmu yang keji……….”.

Aku terdiam.Aku tidak mampu berkata apa-apa teringat kini,semuanya telah pernah ku dengar dan ku pelajari dulu.Segala dosa dan keburukan yang kita lakukan di dunia,akan di jelmakan dalam sebagai suatu makhluk yang teramat hodoh di hadapan kita di alam barzakh nanti. Oh!Tuhan,aku banyak dosa.Aku memang lalai,cuai dan lupa dengan segala nikmat yang telah kau kurniakan.Solatku kerana kawan,dan bukannya ikhlas kerana Allah.Pergaulanku bebas,tak kenal muhrim ataupun tidak.tapi itu semua telah berlalu dan dan sudah terlambat untuk bertaubat.Apa yang aku harus lakukan!!!!! Surah yassin yang abang pegang di letakkan di atas dahiku.Aku melihat kaklong dan kak ngah menangis.Aku juga lihat mata abah bengkak. Tiba-tiba badanku di sirami air.Air apa ini?????

“Tolong….sejuk!!!!Kenapa air ini berbau air kapur barus.Tolong jangan tekan perutku dengan kuat,sakit!!!!Kenapa ramai orang melihat aku???Aku malu…..malu…..malu……!!!!!!”.
Aku di usung ke suatu ruang.Aku lihat kain putih dibentangkan.Lalu diletakkannya aku di atas kain putih itu.kapas di bubuh di celah-celah badanku.Lalu aku di bungkus satu demi satu dengan kain itu. “Nanti,tunggu!!jangan bungkus aku.Kenapa kalian semua buat aku macam ini?Tolong rimas….panas……..”. Kemudian aku di letakkan di suatu sudut.Beberapa orang termasuk tok imam menyembahyangkanku.Kelihatan ayah dan abang berada di saf yang pertama.Tapi kenapa aku di sembahyangkan?

Bukan kah aku boleh sembahyang sendiri?
Aku teringat kata-kata ustazku dahulu.
“Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan”.Dan kini
baru aku sedar aku sudah tidak mampu lagi untuk mengangkat takbir,ruku’,sujud dan tahiyyat. Aku di angkat perlahan-lahan kemudian di letakkan di dalam kotak kayu.

Kotak apa ini?”Aku di usung oleh enam orang termasuk ayah
dan abang.Aku diusung setapak demi setapak”. “Al-Fatihah!”Keengaran suara tok imam.Kelihatan ibu,kak long,kak ngah dan lain-lain mengekori di belakang.tapi kemana dia bawanya aku?”. Nun jauh di sana,kelihatan tanah perkuburan kampungku. “Ke situkah aku dibawanya?Tolong turunkan aku,aku takut!!!!!!”. Setibanya di tanah perkuburan,kelihatan satu liang yang besaiz dengan jasadku.Beberapa tangan memegangku,dan aku di turunkan ke dalam liang itu. “Perlahan-lahan”,aku terdengar suara tok imam memberitahu.”Tolong keluarkan aku dari sini!Aku seram!!!”.Kini aku berada di dalam liang kedalam enam kaki.Sedikit demi sedikit pasir dan tanah menutupiku.

“Tanah apa ini?”.
“Aduh sakitnya badanku di timbusi tanah”.
“Innalillahiwa innailaihi rajiuuun…….Dari Allah kita datang,dan kepada Allah jualah kita kembali”. Kedengaran bacaan talkin dari tok imam.”Sesungguhnya mati itu benar alam barzakh itu benar,siratul mustaqim itu benar,syurga dan neraka itu jua benar……..”.Sayup sayap aku terdengar tok imam terus membaca talkin,tetapi makin lama makin hilang.Pandanganku makin ,makin kabur dan terus tidak kelihatan.Tubuhku terasa telah di timbusi sedikit demi sedikit pasir dan tanah yang di lemparkan ke atasku.Terasa semakin gelap dan ……aku kini keseorangan.

“Nanti!Nanti!Tolong!Tolong ayah,ibu!Jangan tinggalkan aku seorang.Aku takut!!!Gelap!!!Panas!!!Tolongggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggggg !!!!

-SIAPA YANG BOLEH TOLONG KITA KALAU KITA TIADA BEKALAN AMAL SOLEH SEWAKTU DI DUNIA-……

“SAKITNYA SAKRATUL MAUT ITU ADALAH UMPAMA SERIBU PEDANG YANG AMAT TAJAM MENGHIRIS DAGING DAN TULANG SERENTAK…DAN SAKITNYA HINGGA KE AKHIRAT.”